Sudah lama aku tidak menyebut perkataan ini: KABOI. Hampir 30 tahun merantau, bila pulang ke utara, terserempak dengan kumbang ini. Kumbang kalau orang utara ialah sejenis binatang terbang menghisap madu. Kalau di Kuala Lumpur, kaboi dipanggil kumbang. Hmmm confuse. Teringat kisah mula-mula aku sampai Kuala Lumpur, ada member tanya, “Makan apa…?” Spontan aku jawab, “Makan roti empat segi.” Kawan tu terpinga-pinga, kerana aku sedang makan biskut ‘cream cracker’. Hik hik hik… Rupanya roti dan biskut berbeza di sini. Itu belum kisah gula-gula dengan cokelat. Kejar dengan ligan. Tanggal dengan buang…. Jadi janganlah disebut buang selipar… hendaklah disebut tanggal selipar…. Anda boleh jatuh miskin kalau asyik buang selipar….
Kalau persekitaran anda banyak pokok-pokok besar, terdapat banyak kaboi (lepidiota stigma) berterbangan di waktu malam menyerang cahaya lampu. Esoknya… akan bergelimpangan lima enam ekor, overturned terbalik kongkang macam kura-kura. Terkuak-kuak menggapai benda melepaskan diri dari terbalik kongkang. Lepas tu jalan dua tiga langkah, terbalik semula.
Bagi aku yang agak baru di sini, mulalah ambil dan buang kaboi tersebut ke rumput semula. Namun hayatnya tidaklah lama… terkadang-kadang terpijak, kosong lompong isi perut. Patutlah tidak digemari manusia. Makan kaboi pun buat lekat celah gigi. Yaiikkk…

Dua ekor kumbang terpinga-pinga; tidak tahu hala tujuan. Menunggu ajal, jasad kering hancur dimamah debu.

Aku sangka dah mati kejung, tapi bila disentuh, kakinya tergapai-gapai... tolonglah... terbalikkan saya...
Semasa aku bersekolah rendah dulu, aku cukup geli kaboi ni. Ada seorang kawan aku, melekatkan kaboi ni dekat baju aku, apa lagi… aku lari bagai disimbah asid! Berguling-guling. Malu aku kerana diketawakan. Hasil usikan demi usikan, aku dah tidak kisah lagi dah… dah hilang geli.

Ini pulak tiga ekor kaboi terbalik kongkang dekat tempat ambil wuduk di Surau Hajjah Felina. Langkawi Lagoon Resort.
Kaboi mengingatkan aku pada seorang ustaz. Beliau pernah berkata, “Berbuat baiklah hatta mengalihkan kaboi yang terbalik…”









